Kampung kami...

Perjalanan ke Kampung Mujat yang terletak di daerah Serian di bahagian Samarahan mengambil masa kira-kira 40 minit dari bandar Serian. Kampung tradisional kaum Bidayuh ini mempunyai dua buah rumah panjang yang masih mengekalkan unsur-unsur tradisional. Rumah panjang atau "entangen" dalam bahasa Bidayuh merupakan sejenis bangunan kediaman yang terdiri daripada satu bilik yang panjang. Kebanyakannya dibuat dari kayu dan merupakan bentuk binaan yang tetap. Beberapa buah keluarga akan tinggal bersama di rumah panjang ini.

Dua buah rumah panjang ini dipisahkan oleh Sungai Mujat, di mana suatu ketika dahulu sehingga sekarang adalah tempat untuk bermandi-manda terutamanya bagi kanak-kanak. Rumah-rumah panjang ini dikenali sebagai "Entagen Sesah" dan "Entangen Ambuh". Selain tarikan rumah panjang, banyak pelancong tempatan mahupun dari luar negara melawat ke kampung ini kerana tarikan sejarah dan budaya masyarakat setempat yang unik serta pemandangan kampung yang indah selain mempunyai air terjun yang dijadikan tempat berekreasi. 
"Entangen Sesah"

"Entangen Ambuh"
Kini, Kampung Mujat telah mencapai kemajuan yang amat memberangsangkan hasil kerjasama masyarakat kampung dengan pemimpin yang berdedikasi dan komited dalam rancangan pembangunan. Pembangunan kemudahan asas seperti bekalan eletrik dan bekalan air sudah lama dirasai sejak tahun 80'an. Kemudahan pendidikan seperti sekolah rendah dan tadika juga tersedia selain wujudnya balai raya, tempat beribadat, kedai kooperasi dan lain-lain. Masyarakat kampung kini boleh menarik nafas lega dengan kerja menaik taraf jalan raya (tar), kemudahan lampu jalan serta talian telekomunikasi. Kemajuan dan keharmonian Kampung Mujat kini terletak di tangan masyarakatnya yang sentiasa berganding bahu dalam semua program yang dijalankan secara aktif untuk mencapai kehidupan yang maju serta aman dan harmoni.